Posted by : Anas Nazri Sunday, November 10, 2013



KUALA LUMPUR – Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar pada Jumaat, dijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, tengah hari Sabtu.

Ketika ditemui kira-kira 12.20 tengah hari, dia dalam keadaan keletihan dan kelaparan.
Kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna hijau dan seluar putih telah diselamatkan oleh seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui laluan di Taman Tasik Titiwangsa.

Pemandu lori Hamid Md Isa, 57, yang juga pesara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata beliau melihat kanak-kanak itu berjalan berseorangan dan kelihatan keletihan.

Beliau kemudian segera mendapatkan kanak-kanak itu dan memimpinnya ke tepi padang untuk berehat.

Pemandu teksi Haris Mohd Nor, 48, pula segera membeli keropok dan minuman untuk kanak-kanak itu apabila melihatnya keletihan.
“Pagi tadi saya membaca akhbar dan ada berita mengenai kanak-kanak diculik…tapi tak sangka budak inilah yang diculik itu. Semasa saya mendekatinya, dia diam dan tidak berapa takut tetapi memang nampak dia lesu sangat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab yang kebetulan berada di lokasi sama, telah memaklumkan kepada Meja Berita Am agensi itu mengenai penemuan anak lelaki guru bahasa warga Britain itu.

Menurutnya ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersenam di taman itu.
“Dan saya lihat sekumpulan orang awam berkumpul bersama seorang kanak-kanak. Saya dapat merasakan yang dia adalah budak yang diculik semalam berdasarkan wajahnya yang bukan seperti kanak-kanak tempatan.

“Selepas itu saya terus menelefon wartawan Bernama dan menghantar gambarnya yang saya ambil menerusi telefon untuk memastikan sama ada dia budak yang diculik itu,” katanya.

Wartawan Bernama kemudian menghantar gambar itu kepada rakan ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Robert dan beliau mengesahkannya.

Polis yang tiba di Taman Tasik Titiwangsa kemudian membawa Freddie ke Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -