Cerita tentang perkahwinan penyanyi Nubhan semakin menjadi perhatian dan tumpuan. Berikut adalah pengakuan Nubhan ketika dihubungi Media Hiburan online;
 
"Sebenarnya saya memang ada teman wanita. Tentang perkahwinan pula, saya saja cakap-cakap dan tidak pernah terfikir tentangnya. Cerita ini mula menjadi bualan selepas saya katakan mahu berkahwin pada tahun hadapan dalam satu sesi temu ramah tanpa sengaja. Sebenarnya dari dulu lagi, saya memang selalu katakan bahawa saya mahu berkahwin ketika raya dan mungkin saya kahwin raya tahun hadapan, mungkin dua tahun lagi atau mungkin tiga tahun lagi. 
 
"Dalam umur yang sebegini memang saya terfikir mahu pergi ke satu lagi fasa dan apabila sudah lama kenal, tentu kita mahu akhiri hubungan dengan ikatan perkahwinan tetapi saya belum serius lagi tentang soal itu.
 
"Buat masa sekarang, saya sangat sibuk dan belum ada apa-apa perancangan untuk itu. Lagi pun saya belum bersedia untuk memikirkan tentangnya dan hal kahwin bukanlah sesuatu yang main-main. Jika ada jodoh, saya akan berkahwin dengannya tetapi jika tiada jodoh, saya redha dengan ketentuanNya. 
 
"Saya sebenarnya serabut setiap kali orang bertanyakan tentang cerita kahwin ini. Lagipun saya sedang sibuk dengan rakaman album dan berlakon buat masa ini," ujar Nubhan yang bakal sibuk dengan jadual penggambaran pada bulan Januari kelak.
 
Bagaimanapun apabila diminta bercerita tentang kekasih hatinya, penyanyi lelaki ini enggan mendedahkan identiti gadis tersebut. 
 
"Cukuplah saya katakan, dia memang bakal doktor dan masih belajar di tahun keempat di sebuah universiti di Mesir. Kami sudah kenal selama lima tahun dan saya tidak mahu mendedahkan siapa namanya. Saya tidak mahu keluarganya terkesan dengan pelbagai cerita kelak. Lagipun mereka tidak biasa dengan keadaan ini," katanya yang mengakui kedua-dua belah keluarga sudah pun mengenali antara satu sama lain.