Posted by : Unknown Sunday, October 27, 2013

Sayang Gila Pada Uqasha   Pekin
KATAKAN apa sahaja kerana dalam soal cinta, sesiapa pun boleh menjadi keanak-anakan. Itu kesimpulan kepada ‘drama berantai’ putus dan sambung semula hubungan antara pasangan pelakon, Pekin Ibrahim dan kekasih yang telah dirisik sebagai bakal isterinya, Uqasha Senrose, 20.
Semuanya gara-gara terlebih emosi, salah sangka dan silap percaturan. Dengan rendah hati, Pekin mengakui ‘jiwa kacanya’ terlalu rapuh apabila berdepan tekanan melibatkan wanita yang disayangi.
“Memang hati saya kaca, memang saya jiwa saya cepat kacau bila masuk bab cinta tapi sekarang hubungan kami sudah pulih seperti biasa. Majlis kejutan hari lahir yang dirancangkan oleh Uqasha masih diteruskan, tetapi tidak lagi satu kejutan sebab saya terlebih dahulu membuat kejutan dengan cerita putus cinta baru-baru ini,” luah Pekin kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi Jumaat lalu.
Selasa lalu, Pekin memberitahu media bahawa hubungannya bersama Uqasha sudah putus kerana menemui beberapa bukti bahawa wanita yang serius mahu dinikahinya itu berhubungan secara sulit dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad. Namun semuanya terlerai apabila Pekin bertemu empat mata dengan Sharnaaz. Ternyata, hubungan antara Uqasha dan Sharnaaz seperti yang disangka oleh Pekin sebenarnya hanya satu pakatan untuk membuat kejutan ketika meraikan hari lahir Pekin yang dirancang pada 26 Oktober (semalam).
“Memang saya yang bersalah dalam soal ini. Semuanya salah saya. Katalah apa sahaja, tidak matang atau cepat melenting, semuanya saya terima. Memang saya tidak tahu situasi yang sebenar-benarnya. Apabila perkara itu terpaksa dibongkar demi menyelamatkan keadaan, barulah saya terduduk,” luah Pekin sambil mengakui masih belum mengikat tali pertunangan dengan Uqasha.
Katanya: “Memang kami belum bertunang secara rasmi, tetapi apabila sudah buat majlis merisik, ia semacam bertunang juga. Bila sudah merisik maknanya saya serius untuk berkahwin.”
Sayang Gila Pada Uqasha   Pekin
Di sebalik kejadian itu, Pekin mendapat iktibar terbesar dalam hidupnya. Selepas bertemu sendiri dengan Sharnaaz pada Rabu malam, dia kemudian menemui Uqasha pada keesokan harinya untuk memohon maaf. Bukan itu sahaja, Pekin mengambil masa tiga hari untuk bertemu dengan tiga pihak yang sama-sama terjejas perasaan gara-gara keputusan melulu yang keluar daripada mulutnya.
“Selepas berjumpa Sharnaaz pada hari Rabu, esoknya saya ke rumah Uqasha pula. Mujurlah dia masih sudi memaafkan saya. Apa yang keluar daripada mulut saya sebelum itu berpunca daripada rasa marah dan tekanan perasaan. Saya terlalu sayang, sayang gila kepada Uqasha.
“Hari Jumaat pula, sekali lagi saya ke rumah Uqasha untuk meminta maaf daripada keluarganya. Nasihat mereka, keluarga harus didahulukan dalam apa sahaja masalah yang berlaku selepas ini. Saya janji dah tak mahu perkara sebegini berlaku lagi,” cerita Pekin sesal namun bahagia kerana kesilapan besar itu dapat diperbaiki.
Di sebalik kejutan ‘kantoi’ yang terjadi, Pekin membuka satu cerita. Katanya, dia pernah meluahkan kepada Uqasha bahawa tidak pernah merasai suasana sambutan hari lahir sepanjang hidupnya.
“Saya tidak tahu pula Uqasha begitu ambil berat terhadap cerita berkenaan. Aduh, apa nak buat, kejutan entah ke mana, lain pula yang terjadi. Saya benar-benar minta maaf, minta maaf juga kepada pihak media jika merasakan perkara ini satu benda tak sepatutnya terjadi,” tutup Pekin yang genap 32 tahun hari ini.
Malam tadi, majlis hari lahir yang mulanya dirancang sebagai kejutan untuk Pekin tetap berlangsung dalam suasana meriah di Empire Hotel Subang Jaya, Selangor. – Kosmo

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -