Posted by : Anas Nazri Thursday, October 17, 2013

Selesa Tanpa Hidup Mewah   Nabila HudaTerkenal dengan lakonan hebat, jolokan imej seksi dan sering bersosial dengan teman lelaki, menjadikan nama Nabila Huda atau Abil begitu kuat dalam persada seni buat masa ini.
Biarpun banyak cerita negatif yang dihamburkan kepadanya, Abil tetap dengan pendiriannya malah, tidak pernah sesekali berubah mengikut kemahuan orang mahupun peminatnya.
Tinggalkan cerita negatif tentang diri Abil, aktres berusia 29 tahun itu juga melalui pengorbanan yang besar dalam hidupnya.
Hampir dua tahun hidup sebagai ibu tunggal, Abil membesarkan Keisha dengan limpahan kasih sayang selain turut berjuang mencari rezeki dalam bidang lakonan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan membesarkan Keisha.
Bagaimanapun, hati ibunya sedikit remuk tatkala orang lain menuding jari menyalahkannya atas kemalangan yang terjadi ke atas Keisha herhampiran Betong, Pahang pada awal September lalu.
Lindungi Keisha
Selepas insiden tersebut, adakah Abil lebih bersikap pelindung kepada Keisha?
Luah Abil, jika kemalangan tersebut tidak berlaku, sebagai ibu dia sentiasa melindungi anak perempuannya itu dengan sebaik-baiknya.
“Sebagai ibu saya sendiri yang tahu macam mana susahnya mengandung dan melahirkannya. Walaupun kemalangan tersebut tidak berlaku, saya sentiasa melindunginya sepanjang masa,” luahnya ketika ditemui pada sesi penggambaran drama Dia Suamiku di Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.
Bicara Abil lanjut, selepas insiden tersebut, dia lebih berhati-hati untuk membawa anaknya ke lokasi penggambaran.
Bagaimanapun, dia juga tidak sanggup berjauhan dengan Keisha dan disebabkan itu, dia terpaksa juga membawa anaknya itu ke lokasi.
Namun, Abil akui akan memastikan Keisha selesa dan selamat setiap kali mengikutnya ke lokasi penggambaran.
“Saya sebenarnya tidak boleh berjauhan dengan dia (Keisha). Disebabkan itu, jika melibatkan penggambaran selama seminggu lebih saya akan membawanya ke lokasi,” jelas Abil.
Bakal pulang menyambut Aidiladha di kampung neneknya, di Johor Bahru, Abil turut berkongsi erti pengorbanan sebagai seorang ibu dan juga pelakon.
Bagi Abil, pengorbanan paling besar yang dilakukannya apabila menjadi pelakon, tetapi tidak mempunyai masa yang cukup untuk anak dan dirinya.
“Saya sedar kehidupan saya menjadikan masa untuk bersama Keisha dan juga diri sangat terhad. Namun, saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya buat (berlakon) kerana ia membuatkan saya gembira,” tuturnya.
Tidak mahu VIP
Bersyukur hidup secara sederhana tanpa limpahan duit, Abil juga menolak anggapan sesetengah pihak yang mengatakan artis sering memburu golongan VIP kerana tamakkan duit.
Bagi Abil, dia tidak perlu hipokrit menyayangi golongan tersebut semata-mata kerana duit tetapi hatinya tidak gembira.
“Saya bersyukur dengan kehidupan seperti ini. Saya tidak pernah terfikir untuk kejar Tan Sri atau orang kaya. Sebabnya, saya tidak mahu hipokrit menyayangi mereka tetapi perasaan sendiri tidak gembira,” luahnya yang sesekali memeluk Keisha ketika sesi temu bual berlangsung.
Ujar Abil, sebagai seorang yang hidup dalam dunia realistik, dia hanya memerlukan seorang lelaki biasa yang mampu dipertanggungjawabkan sebagai ketua keluarga selain menyayangi dirinya sebaik mungkin.
Begitu juga dalam bidang lakonan apabila dia tidak pernah meletakkan standard agar sesebuah produksi itu perlu membayarnya mahal melihat populariti yang dikecapinya sekarang.
Ujar Abil, dia sentiasa ingat asal usul dan sentiasa mengingatkan diri supaya tidak mementingkan duit sebaliknya memikirkan kebahagiaan anak dan dirinya.
“Sejak dahulu, saya tidak pernah meletakkan harga perkhidmatan saya setiap kali dipanggil bekerja. Ini kerana, saya gembira dengan pekerjaan saya dan saya percaya pihak penerbit boleh menilai harga kerja saya dari semasa ke semasa. Kini, kebanyakan penerbit meletakkan harga yang hampir sama untuk mendapatkan khidmat saya sebagai pelakon mereka,” ujarnya.
Watak baik
Sering melihat Abil dalam lakonan antagonis, kali ini menerusi drama Dia Suamiku, aktres itu memainkan karakter sebagai seorang isteri bernama Aisyah yang sanggup mengorbankan cita-citanya sebagai pereka fesyen bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap suami dan anaknya.
Bagaimanapun pengorbanan Aisyah sia-sia apabila suaminya mula bermain cinta dengan Hana (lakonan Yana Samsudin).
Ramai yang menganggap anak kepada penyanyi rock hebat, Amy Search itu suka membawakan watak antagonis sebaliknya, akui Abil, sebenarnya watak baik menjadi pilihannya kerana ia sukar untuk dibawa.
“Sebenarnya saya lebih senang membawakan watak baik berbanding jahat dalam drama. Sebab watak baik ini perlu banyak bermain dengan perasaan dalaman,” ungkapnya lagi.
Mengulas mengenai lakonan bersama Fauzi Nawawi, kata Abil, ia merupakan gandingan kali pertama mereka sebagai suami isteri.
Meniti dasar hatinya, Abil turut disoal bagaimana berlakon di samping Fauzi yang diakui merupakan seorang pelakon yang berkaliber, selain aktor sering digosip mempunyai skandal dengan ramai wanita.
Bagi Abil, dia selesa berlakon di samping Fauzi. Malah, dia melabelkan suami aktres Lisdawati itu sebagai seorang yang kelakar.
“Saya tiada masalah berlakon dengan dia atau sesiapa. Saya akan selesakan diri. Saya juga akan cuba bina keserasian apabila berlakon dengannya.
“Sebenarnya dia (Fauzi) seorang yang kelakar walaupun raut wajahnya kelihatan garang,” ujarnya. – Kosmo

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -