Posted by : Unknown Sunday, November 10, 2013



SHAH ALAM – Anak peniaga pasar malam, Siti Aisah Kamarulzaman, muncul graduan terbaik Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Malaysia dan ketujuh terbaik ACCA dunia bagi peperiksaan Jun 2013.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata Siti Aisah menduduki tempat ketujuh terbaik daripada 6,000 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan dari seluruh dunia.

“UiTM sangat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Siti Aisah yang membuktikan bahawa jika kita mahukan sesuatu, tiada yang mustahil dan sesiapa juga mampu melakukannya,” katanya pada sidang media meraikan kejayaan itu hari ini.

Beliau berkata Siti Aisah juga mewarisi kejayaan yang dicapai abangnya, Khalid, yang turut muncul graduan terbaik di Malaysia dalam peperiksaan sama tahun lepas.

Siti Aisah, 21, penuntut Jabatan Pengajian Perakaunan Profesional, Fakulti Perakaunan UiTM, muncul terbaik daripada 724 graduan ACCA di negara ini.

“Saya bersyukur dengan pencapaian ini serta berterima kasih kepada kedua ibu bapa dan pensyarah saya yang banyak memberi sokongan serta semangat sepanjang pengajian saya, merekalah kekuatan dan pendorong kejayaan bermakna ini.

“Sejujurnya, saya tidak jangka langsung kejayaan ini dan bersyukur kerana mampu mengulangi pencapaian cemerlang abang dalam peperiksaan ini,” kata anak keempat daripada sembilan beradik itu.

Beliau berkata pengalaman ayahnya, Kamarulzaman Udin, 51, sebagai peniaga pasar malam dan nasihat ibunya, Saadah Rahmat, 52, seorang guru, banyak memberi semangat untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan dalam hidup.

Siti Aisah, yang kini berkhidmat di sebuah firma perakaunan terkemuka, berkata tiada rahsia tertentu untuk mencapai kejayaan sebaliknya perlu fokus dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Peminat bidang muzik itu turut berterima kasih kepada UiTM dan ACCA serta firma perakaunan BDO, selaku penaja yang menyediakan peluang untuk beliau sehingga muncul sebagai antara yang terbaik dalam bidang perakaunan.

Dalam perkembangan lain, Sahol Hamid berkata mulai tahun depan, semua kursus profesional UiTM akan ditawar di Medan Mara, Kuala Lumpur bagi memudahkan penuntut hadir ke kelas tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.

“Jadi, mereka yang ingin ikuti kursus profesional boleh mengikutinya di Kuala Lumpur tanpa perlu ke Shah Alam, di mana kita bekerjasama dengan MARA bagi menyediakan kemudahan pengajian ini,” katanya. – AstroAwani

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -