Posted by : Unknown Monday, November 11, 2013


BUKIT JALIL: Kejutan pada peringkat separuh akhir program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) apabila peserta duo daripada Kuala Lumpur iaitu Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Azmi (Azhael) gagal mara ke peringkat akhir selepas mendapat undian terendah pada persembahan minggu kelapan yang diadakan di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada malam Ahad.
Azhael mendapat undian terendah sebanyak 15 peratus selepas menyampaikan dua buah lagu iaitu Kembali Merindu nyanyian asal kumpulan Slam dan Lelaki Ini (Anuar Zain).
Pengumuman itu dibuat oleh 'Inspirer' minggu ini iaitu Datuk Siti Nurhaliza.
Penyingkiran Azhael sekaligus telah melayakkan lima finalis lain iaituNadia Amira Othman (Amira), Nur Nabila Mohd Razali (Nabila), Siti Ruhilah Hussien (Indah), Nur Aishah Aziz (Aishah) dan Mohd Faizul Sani (Faizul) mara ke peringkat akhir yang bakal diadakan di Stadium Negara pada 17 November depan.
Azhael ketika ditemui memberitahu walaupun sedih tidak dapat mara ke peringkat akhir namun redha dengan keputusan yang dibuat oleh pengundi dan menganggap rezeki tidak memihak kepadanya.
"Ini bukan pengakhiran buat kami tetapi permulaan dan kami akan teruskan karier nyanyian selepas ini," ujarnya kepada mStar Online.
Tiga pengkritik tetap AF 2013 terdiri daripada komposer Roslan Aziz, Pelakon Sharifah Amani dan Penyanyi dan komposer Edry KRU.
Ia dihoskan oleh Zizan Razak.
Sementara itu, Siti berkata, secara keseluruhannya kesemua peserta telah menunjukkan peningkatan cemerlang terutama dari segi vokal dan berharap mereka yang melayakkan diri ke peringkat akhir dapat memberikan persembahan terbaik pada minggu terakhir AF 2013.
"Walaupun Azhael tersingkir tetapi mereka telah memberikan persembahan terbaik dan saya yakin mereka mempunyai peluang cerah untuk maju dalam bidang nyanyian.
"Secara keseluruhannya kesemua peserta telah memberikan persembahan terbaik dan mendapat kritikan baik daripada pengkritik," ujarnya.
Pada minggu ini kesemua peserta perlu menyanyikan dua buah lagu menerusi dua segmen.
Menariknya pada malam tersebut beberapa artis terkenal seperti Zamani, Ella, Rahmat (Mega), Salem (Iklim) dan Mus (May) membuat kejutan apabila muncul pada persembahan peserta.
Konsert yang berlangsung selama dua jam ini turut dihadiri tenaga pengajar AF 2013 seperti Fizz Fairuz, Shafi Sharif, Alam Wakaka dan Suhaili.
Selain Siti Nurhaliza, AF 2013 turut menampilkan dua lagi tenaga pengajar utama yang dikenali sebagai 'Inspirer' iaitu Faizal Tahir dan Melly Goeslow.
AF 2013 bersiaran secara langsung setiap Ahad pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Maya (135).

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -