Posted by : Unknown Friday, November 1, 2013

Saya Tak Nak Jadi Perabot Tua   FBI
PADA 24 Oktober lalu, tanpa angin atau ribut, Faizal Ismail melalui medium sosial Twitter dan Facebook peribadinya mengumumkan dirinya meletakkan jawatan sebagai penyampai radio Hot FM.
Pengumuman tersebut telah mengejutkan banyak pihak, sementelah Faizal mahu mengundurkan diri pada saat namanya masih menjadi sebutan sebagai salah seorang penyampai radio paling popular di Malaysia.
Alasan Faizal yang terkenal dengan jolokan FBI itu, dia mahu memberi fokus terhadap perniagaan yang baru ditubuhkan dua bulan lalu, FBI Entertainment. Sdn. Bhd.
Tidak memberi sebarang kenyataan pada hari berita tersebut tersebar kerana menghormati syarikat tempatnya bekerja, Faizal hadir bersama Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul bertemu pihak media memberi pencerahan terhadap keputusan nekadnya untuk memulakan cabaran baharu dalam kehidupannya.
Kosmo!: Mungkin Faizal boleh lanjutkan kenyataan tentang pengumuman meninggalkan Hot FM seperti yang diumumkan pada 24 Oktober lalu. Adakah benar anda berhenti 24 jam atau bagaimana proses persaraan ini terjadi?
FAIZAL: Pertama sekali, saya memohon maaf kerana selepas membuat pengumuman peletakan jawatan pada 24 Oktober lalu, saya gagal dihubungi pihak media. Ini kerana saya mahu menghormati pihak tempat saya bekerja yang juga terkejut dengan keputusan saya.
Keputusan tersebut saya ambil tanpa pengetahuan sesiapa, kecuali isteri dan berfikir ini adalah masa terbaik buat saya memulakan satu fasa lain iaitu mengembangkan bisnes saya yang baru bermula dua bulan lalu.
Sebenarnya, ia bukan peletakan jawatan 24 jam seperti yang didakwa, sebaliknya saya mengikut prosedur syarikat iaitu surat peletakan jawatan itu akan aktif dalam tempoh enam bulan. Mungkin, ada yang menyangka 24 Oktober sebagai 24 jam, jadi kekeliruan berlaku di situ.
Jadi, sebenarnya bila anda benar-benar akan meninggalkan Hot FM?
Selepas perbincangan, perkhidmatan saya secara kontrak akan tamat pada 15 November ini. Namun, bermula Disember, saya akan bekerja secara sambilan pada hujung minggu untuk mengisi slot yang sesuai dengan saya.
Anda sedang berada di puncak karier dan begitu popular tetapi mengapa berani mengambil keputusan drastik sebegini?
Saya tidak mahu hidup dalam kepompong atau zon selesa yang membuatkan saya lupa untuk mencabar dan mempertingkatkan diri. Saya kira, tujuh tahun lalu sebelum saya menyertai stesen radio ini, banyak yang bertanya tentang keyakinan saya untuk menjadi deejay di sebuah stesen radio yang belum dikenali dan saya berjaya mencabar diri saya kerana saya memang cintakan bidang ini.
Saya masih ingat, saya bermula dari bawah sehingga berada pada tahap sekarang. Kemudian, saya rasa, saya sudah mencapai semua yang saya inginkan dan saya tidak mahu terlalu selesa.
Lantas, saya kini mahu bergerak pada fasa seterusnya iaitu dunia bisnes. Sekali lagi saya diajukan persoalan yang sama dan jawapan saya masih sama, saya mahu mencabar diri saya.
Satu lagi, saya selalu ingatkan diri sendiri agar ‘pergi sebelum waktunya’ sebab saya tidak mahu menjadi ‘perabot tua’ di pejabat apabila tiba kitaran itu.
Tidak sayang melepaskan dunia selebriti dan populariti?
Sejak dulu, itu bukan matlamat saya, jadi saya tidak berasa rugi. Saya kira, insya-Allah bidang bisnes saya juga nanti akan membuka lembaran yang baik buat saya kerana saya masih berada dalam industri hiburan dengan melakukan servis di belakang tabir.
Apakah perasaan anda selepas membuat pengumuman tersebut? Lega?
Ya, lega itu lebih bersifat peribadi.
Atau adakah anda sebenarnya sudah penat dengan dunia anda sekarang?
Kalau nak cakap soal penat, pada setahun pertama menyertai Hot FM, ia merupakan tahun yang paling padat buat saya. Kemudian, ia akhirnya menjadi satu rutin dan ya, saya akui, kini saya berasa penat. – Kosmo

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -