Posted by : Unknown Tuesday, November 19, 2013

#VillaNabila – Polis Sahkan Hanya Seorang Remaja Yang Hilang – Bukan 23 Orang
JOHOR BAHARU : Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang
selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata
kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, semalam apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini, sejak keluar pada Sabtu.
“Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat
Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai ‘Villa Nabila’.
“Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di
villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di sini, pada kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas gagal menemui remaja berkenaan,”
katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, hari ini.
Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum menemuinya sehingga kini.
Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan
sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.
Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung
orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.
Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni perkarangan pintu masuk
villa tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di
sepanjang Jalan Skudai, pagi ini.
Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang
berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.
Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah
Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit berada di dalam bangunan itu.
“Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada pukul 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.
“Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya
bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain,”
katanya. — BERNAMA

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -