Posted by : Unknown Wednesday, December 4, 2013


KEKERAPANNYA ke sini menimbulkan tanda tanya, sehingga ada yang membuat spekulasi penyanyi cantik dari seberang ini sebenarnya sudah bernikah. Apa yang lebih mengejutkan khabarnya "suaminya" itu juga merupakan orang Malaysia. Tidak menolak dia kerap ke sini, penyanyi Datuk Sri Rossa Roslaina Handiyani atau Rossa bagaimanapun menafikan dia kini sudah bergelar isteri.
Hanya ketawa ketika ditanyakan soalan tersebut, Rossa yang sudah lima tahun menjanda memberitahu dia masih belum terdesak untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Mengakui sedang mengenali seseorang Rossa bagaimanapun enggan berkongsi identiti kekasihnya itu.
"Itu bohong! Saya belum bernikah, ke sini hanya bekerja.
"Sebetulnya memang saya sudah ada pacar, seorang ahli perniagaan. Orang Malaysia atau mana, saya tidak boleh beritahu sekarang, " katanya ketika di temui pada majlis perlancaran drama bersiri terbaharu Astro Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western, Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sudah agak lama mengenali kekasihnya itu, Rossa bagaimanapun tidak menolak ada sesuatu yang cukup istimewa mengenai lelaki yang sedang menawan hatinya kini. Percaya kepada jodoh, Rossa bagaimanapun tidak mahu terburu-buru untuk melangkah ke alam perkahwinan.
"Apa yang boleh saya katakan hubungan ini terjalin agak lama, apa istimewanya dia pada mata saya, biar saya sahaja yang tahu. Ya kalau sudah bercinta secara automatiknya pasti ada sesuatu yang spesial daripada orang itu.
"Buat masa ini saya tidak terdesak mahu bernikah, kalau kami berkahwin itu namanya jodoh. Kalau tidak, saya juga tidak apa-apa," katanya, bersahaja.
Menginginkan bakal suaminya lebih pintar dari dirinya, Rossa tidak melihat kemewahan sebagai ciri wajib untuk mana-mana lelaki mendekati dirinya. Percaya kepada rezeki dan Rossa juga mengakui yang anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 7, sudah mengenali pacarnya itu.
"Kalau boleh saya mahu suami yang lebih pintar dari saya. Soal kaya itu subjektif, kalau hari ini dia kaya mungkin selepas berkahwin dia akan jatuh miskin semua itu kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu.
"Anak saya juga sudah mengenali dia, sejak dari dahulu lagi saya senang mengenalkan anak saya dengan rakan-rakan saya sebenarnya," katanya yang turut mengakui sebelum ini pernah bercinta dengan rakyat Malaysia.

Gelaran Datuk satu tanggungjawab

Baharu sahaja dikurniakan gelaran Datuk pada ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lalu, Rossa tidak terkilan sebenarnya ada yang masih mengeluarkan kata-kata negatif kepada dirinya. Mengakui masih mencuba menangkis apa yang dihamburkan kepada dirinya, Rossa tidak menolak suatu hari nanti pasti akan ada yang bersetuju untuk mengatakan dia layak menerima gelaran tersebut.
"Saya tahu ada yang masih terus mempertikaikan penganugerahan ini, tetapi sebagai penerima saya sangat menghargai gelaran ini kerana ia datang dari Tuanku Sultan Pahang.
"Bagi mereka yang tidak puas hati dan sering bertanya apa sumbangan saya kepada Malaysia, saya akan terus berusaha ke arah itu," katanya.
Berkongsi pengalaman mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan penganugerahan ini kepada pihak media Indonesia, Rossa mengakui gelaran yang dibawanya kini bukan sekadar nama tetapi tanggungjawab yang besar.
"Di Indonesia mereka masih kabur dengan gelaran ini jadi saya adakan satu sidang media bagi menjelaskan kepada pihak media di sana. Syukur kehadiran wakil akhbar Utusan Malaysia, memudahkan lagi penerangan anugerah ini.
"Bagi saya penganugerahan ini adalah satu tanggungjawab yang berat. Apabila saya dapat gelaran ini, ia bukan untuk saya tetapi kepada seluruh rakyat Indonesia, dan saya perlu pastikan ia dihargai," katanya.
Masih kekok untuk dipanggil Datuk, Rossa tidak melihat kekerapannya berada di negara ini kelak akan menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan peminatnya di Indonesia. Baginya menerima tawaran menyanyi di sini sudah menjadi acara wajib, tidak timbul persoalan dia hanya mahu membalas budi.
"Saya akui memang banyak tawaran nyanyian yang saya terima sehingga hujung tahun ini. Semua tawaran itu hadir sebelum saya mendapat penganugerahan lagi, jadi ini bukan soal mahu balas budi.
"Di Indonesia juga saya pernah menerima anugerah, jadi kedua-dua negara ini juga sangat dekat dan saya adalah seorang yang adil," katanya ketawa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131203/hi_01/Kahwin-Belum-terdesak#ixzz2mQe2qhjz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -