Posted by : Anas Nazri Thursday, December 5, 2013

Seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Rahinah Ibrahim berusaha untuk membersihkan namanya daripada senarai individu tidak boleh 'menjejakkan kaki' ke Amerika Syarikat (AS) apabila kes itu mula dibicarakan di Mahkamah Persekutuan San Francisco pada Isnin.

Sejarah Tercipta, Pensyarah Malaysia Cabar Kerajaan AS di Mahkamah

Difahamkan ia merupakan cubaan pertama seorang individu mencabar keputusan kerajaan AS yang dibicarakan, lapor AP.

Prof Rahinah mendakwa namanya secara tidak sengaja diletakkan dalam senarai tersebut kerana dia beragama Islam.

Beliau telah berjuang untuk membersihkan namanya sejak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco pada Januari 2005.

Oleh kerana bekas graduan Standford berusia 48 tahun itu tidak dibenarkan menjejakkan kakinya ke AS, untuk memberikan keterangan, testimoninya dirakam di London dan ditunjukkan kepada Hakim Daerah San Francisco, William Alsup pada Isnin.

Kerajaan AS juga tidak memaklumkan sebab mengapa Prof Rahinah dimasukkan dalam senarai tersebut.

Peguam Persekutuan pula membantah kes perbicaraan tersebut yang disifatkan sebagai 'risiko yang tidak boleh diterima' kerana mendedahkan maklumat sulit mengenai bagaimana program 'Homeland Security' berfungsi, menurut laporan berita San Jose Mercury.

Alsup yang mendengar perbicaraan itu tanpa kehadiran juri mengarahkan agar perbicaraan kes tersebut diteruskan walaupun pelbagai butiran dibekalkan sebagai dokumen di mahkamah.

Dalam kes perbicaraan yang tidak pernah berlaku itu, kerajaan AS dijangka mendedahkan senarai nama yang dilarang memasuki negara itu, satu pendekatan keselamatan penerbangan yang digunapakai sejak serangan pengganas pada 11 September 2011.

Menurut San Francisco Chronicle, dalam senarai itu terdapat beberapa ribu nama penumpang yang didakwa mempunyai risiko melakukan keganasan atau rampasan kapal terbang.

Bagaimanapun, audit kerajaan AS mendapati wujud beberapa kesilapan sejak Homeland Security mengekalkan senarai tersebut sejak sedekad yang lalu.

Peguam yang mewakili Prof Rahinah, Elizabeth Pipkin memberitahu KQED bahawa anak guamnya tidak pernah dimaklumkan sebab mengapa peluangnya untuk ke AS dinafikan.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -