- Back to Home »
- artis »
- Suami Tinggalkan Kerjaya Demi Diana Amir
Posted by : Unknown
Monday, October 28, 2013
PETALING JAYA – Suami kepada pelakon Diana Amir iaitu Mohd Habibbullah A
Rahman telah melepaskan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah sejak enam bulan lalu.
Mohd Habibbullah berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu isterinya
menguruskan beberapa buah perniagaan termasuk jenama tudung milik Diana
iaitu Diana Amir Exclusive.
“Keputusan itu dibuat kerana saya ingin meneruskan pengajian di
peringkat ijazah kedoktoran (PhD), sementara itu saya akan membantunya
menguruskan beberapa perniagaan.
“Alhamdulillah sudah enam bulan saya membantunya dan pelbagai pengalaman
baharu dapat saya belajar dan seronok dapat terlibat dalam dunia
perniagaan,” katanya kepada mStar Online.
Diana sah bergelar isteri kepada Habibbullah dengan sekali lafaz dalam
sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal
Abidin Putrajaya kira-kira pukul 9.30 malam pada Jumaat lalu.
Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27,
turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan
cincin.
Dalam perkembangan sama, Habibbullah berkata, sebagai seorang suami, dia
akan memberikan sokongan penuh kepada Diana untuk meneruskan kerjaya
dalam bidang lakonan.
Dia juga tidak mempunyai sebarang halangan dan yakin Diana bijak untuk
memilih tawaran dan menjaga dirinya sebagai seorang wanita dan isteri
orang.
“Sebelum kami berkahwin, lakonan adalah kerjayanya dan saya menerima dan
akan terus memberi sokongan kepada Diana dalam apa yang ingin dia
lakukan.
“Saya yakin dia pandai menjaga diri dan batas-batas sebagai seorang isteri,” katanya.
Dalam pada itu, Diana berkata, seperti mana pasangan yang sudah
berkahwin dia mengharapkan rumah tangga mereka akan diserikan dengan
kehadiran anak dan mengimpikan sebuah keluarga besar.
Dia dan suami memang sukakan kanak-kanak dan jika dizinkan dia ingin menimang cahaya mata secepat mungkin.
“Insya-Allah jika diberikan rezeki cepat kami sangat bersyukur dan
gembira tambahan pula kami memang sukakan kanak-kanak dan mengimpikan
sebuah keluarga besar,” katanya. – mStar Online