Posted by : Unknown Saturday, November 9, 2013



Jadual kerja pengacara dan pelawak popular, Zizan Razak atau nama sebenarnya Muhammad Razizan Abdul Razak kebelakangan ini padat, terutama apabila harus mengendalikan program infotainment popular, Melodi dan konsert mingguan Akademi Fantasia 2013 (AF2013) pada hari sama setiap Ahad.
Faktor kesibukan juga didakwa menjadi punca mengapa pengacara yang turut aktif berlakon filem itu tidak dapat memberi tumpuan sewaktu mengendalikan AF2013 pada peringkat awal. Kebanyakan penonton berasakan Zizan tidak dekat dengan penonton dan tidak mampu mengendalikan situasi dengan baik, terutama apabila ada peserta menerima kritikan pedas daripada juri tetap.

Namun setelah konsert AF2013 masuk minggu kelima, barulah selebriti dari Dungun, Terengganu ini dilihat selesa berada di pentas.
Zizan menafikan sibuk dan penat menjadi faktor kepada kritikan diberikan penonton setia program mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian itu. Katanya, jika hendak dibandingkan jadualnya tahun lalu, kali ini segala aktiviti berjalan lancar dan tersusun. Malah, dia tidak langsung terasa beban walaupun dua program dilakukan dalam satu masa.

“Dulu lagi teruk sehingga saya jatuh sakit dan dikejarkan ke hospital. Waktu itu, jadual kerja saya sangat padat dan bekerja dari pagi hingga pagi keesokan harinya. “Mana tidaknya, apabila habis satu program, saya harus ke lokasi penggambaran filem,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media teater muzikal Bahayanya Wanita di Istana Budaya, baru-baru ini.

Untuk tahun ini, Zizan akui jadual kerjanya lebih tersusun tetapi apabila konsert AF2013 ditukar kepada Ahad, ia di luar bidang kuasanya apabila bertindan dengan Melodi. Sebagai pengacara yang terikat dengan komitmen kerja, Zizan terpaksa akur.
“Bayangkan, saya mula sibuk pada Jumaat kerana raptai penuh pada hari itu dan mengendalikan TGIF AF2013. Keesokannya sudah konsert. Ahad mula mengendalikan Melodi bersama Awal.

“Apabila jadual berubah dan saya harus mengendalikan Konsert AF2013 dan pada sebelah siangnya mengacarakan Melodi, tidak dinafikan ia sedikit kalut, tetapi setakat ini saya mampu mengawalnya. Mahu atau tidak, sebagai pengacara, saya mesti menjayakannya,” katanya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Followers

Ping!

Powered by Blogger.

Visitors

Visitor Counter

- Copyright © B|S Network -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -